muQaddimah


Islam dan Tenaga-Tenaga yang Terbiar (Dipersia-siakan), Muhammad al-Ghazali

Posted in buku,fikrah,Islam,Muhammad al-Ghazali,realiti,tajdid,tamadun oleh Abu Hassan di 12 April 2007

Islam dan Tenaga-Tenaga yang Terbiar (Dipersia-siakan)
Muhammad al-Ghazali
Siri Penerbitan Yayasan Islam Terengganu (42), 1986, 228 muka surat

Dalam buku ini, sidang pembaca budiman akan dapati perbandingan antara agama yang benar dengan realiti ummah…

Dalam membuat penguraiannya, saya berpegang kepada apa yang termaklum dari prinsip-prinsip Islam dan apa pula yang biasa diketahui dari kehidupan penganut-penganutnya.

Sidang pembaca budiman akan dapata betapa luasnya jurang di antara apa yang sewajarnya wujud dengan realiti yang dapat disaksi.

Anda akan ketahui dengan jelasnya sebab-sebab bagi perbezaan itu sebagaimana yang ternampak kepada saya – selepas mengkaji sejarah dan menganalisa perkembangan-perkembangannya.

Seandainya telah menjadi kebiasaan saya tidak cenderung menceritakan kisah-kisah dan membilang-bilangkan periswita, maka kejelasan realiti sudah memadai untuk menjelaskan kedudukan yang sebenar.

Yang demikian itu bukan sahaja jelas di fikiran saya seoarng, malahan adalah jelas dipandang oleh ramai para pendidik di bidang hal-ehwal keislaman.

Sesungguhnya kita umat Islam adalah suatu umat yang mempunyai tunjang yang teguh.

Selama masa sepuluh abad kita berada dalam keadaan teguh dan stabil di alam maya ini dan misi atau risalah yang kita jalankan amat masyhur.

Dalam abad-abad yang tersebut, keadaan kecemerlangannya tidaklah sama… malahan dalam abad-abad yang terakhir telah menjadi seolah-oleh seperti sumbu pelita yang kehabisan minyak. Ia berkelip lemah bila ditiup angin dan terus padam bila angin bertambah kencang.

Kedatangan abad-abad yang terakhir itu dalam masa pihak musuh sedang menunggu-nunggu hendak menerkam ke atas umat Islam dan semasa itu pihak pertahanan Islam dalam kelalaian; lalu menimpalah ke atas umat Islam itu malapataka yang bukan alang kepalang besarnya.

Akan tetapi, mujurlah umat Islam dilengkapkan dengan sebuat agama yang sukar dilenyapkan. Ia mempunyai potensi menghidup balik semangat yang luntur dan menguat balik tenaga yang lumpuh.

Sejak 70 tahun yang lalu, ia berehat menantikan penyakitnya betah dan dari semasa ke semasa kesihatannya beransur pulih.

Sekarang, hampir-hampir kekuatannya itu telah pulih seperti sediakala untuk meneruskan tugas dalam penyampaian risalahnya yang mula.

Semoga dengan taufik dan inayah Allah s.w.t. cita-citanya itu akan tercapai.

Umat Islam kita yang berkembang luas di permukaan bumi ini dengan limpah kurnia Tuhan memiliki sumber-sumber alam yang tidak ternilai harganya.

Sekarang kemakmuran dan kemelesetan alam seluruhnya terletak dalam genggamannya.

Kita dapat berkata dengan penuh keyakinan, sekiranya umat Islam tahu menggunakan apa yang dimilikinya itu dengan bijaksana, sudah tentu seluruh umat lain akan menumpukan harapan kepadanya sedangkan ia tidak berhajat kepada bantuan siapa-siapa. Urat nadi ekonomi kelima-lima buah benua dalam dunia ini bermula dari kita dan berakhir kepada kita.

Di samping itu, kekayaan di bidan adabi dan moral adalah melebihi kekayaan kita di bidang materi atau materi. Tidakkah kita umat yang memikul risalah Islam? Risalah kebenaran dan kebajikan yang dengannya wajah alam wujud ini berseri, akal pemikiran bersinar dan hati nurani menjadi murni? Segenap bangsa tak kira warna kulit dan bahasa sejah lama lagi telah menghirup udaranya dan memakan pemakanannya sehingga mereka menjadi begitu kuat dan melayakkan mereka menduduki tempat yang tinggi di bidang kepimpinan dalam jangkamasa yang bukannya pendek..

Mereka akhirnya mengabaikan kewajipan mereka yang digariskan oleh agamanya maka terimalah mereka saat kejatuhan!

Mereka menyedari sebab-sebab kejatuhan itu selepas mengalami berbagai-bagai malapetaka lalu terjaga dari kelalaiannya itu!

Bangkit mereka daripada kejatuhan itu tetapi mereka melihat alam sekelilingnya telah mengalami perubahan yang menyeluruh.

Perubahan inilah yang memerlukan kajian dan renungan.

Segala apa yang berlaku ke atas mereka daripada kejatuhan selepas meningkat naik, kebekuan selepas bergerak laju, bukanlah berlaku secara serampangan, malahan semuanya itu ada dengan illat-illatnya yang terpendam. Ini juga memerluka renungan dan kajian.

Dalam buku yang ringkas ini, kita cuba membentangkan beberapa sudut realiti yang menyedihkan dan membandingkannya dengan sasaran-sasaran yang ditetapkan Islam yang dengannya ia menerangi ideal-ideal tertinggi di hadapan penganut-penganutnya sambil kita membuat pertanyaan: Apakah sebab-sebab kemalapan dan kemunduran ini?

Kita akan melihat bahawa kita sahaja di sebalik ketewasan ini yang tertanya-tanya seperti yang dilakukan oleh kaum Muslimin selepas peperangan Uhud; lalu dikatakan kepada mereka:

“Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (dalam peperangan Uhud) padahal kamu telah menimpakan kekalahan dua kali lipat kepada musuh-musuhmu (dalam peperangan Badar) kamu bertanya: “Dari mana datangnya (kekalahan) ini.?” Katakanlah: “Ini dari (kesalahan) dirimu sendiri.”  

Surah Ali-Imran:120

Banyak bangsa-bangsa dunia pada masa ini telah berjaya menerawang angkasa lepas setelah mencapai kejayaan di muka bumi, sedangkan kita umat Islam – selepas nyenyak tidur mula membuka mata  untuk melihat tempat di manakah patut diletakkan kaki di atas jalan yang sebegitu panjang…!!

Apakah sebab kebekuan umat ini? Dan bagaimanakah caranya ia akan melangkah mara? Di atas siapa terletaknya beban tanggungjawab itu? Dan apakah nilai-nilai warisan kerohanian dan pemikirannya? Adakah ia merupakan suatu rintangan yang seharusnya dibuang atau disingkirkan? Ataupun ia menjadi sumber tenaga bagi suatu kehidupan yang segar bugar yang wajib disuburkan? Jawapan kepada soalan-soalan tersebut dapat di baca dalam buku ini secara ringkas.

Muhammad al-Ghazali

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: