muQaddimah


Petunjuk Sepanjang Jalan, Syed Qutb

Posted in buku,fikrah,Islam,realiti,syed qutb,tajdid oleh Abu Hassan di 4 April 2007

Petunjuk Sepanjang Jalan, Syed Qutb

Umat manusia sekarang ini berada di tepi jurang kehancuran. Keadaan ini bukanlah berpunca dari ancaman maut yang sedang tergantung di atas ubun-ubunnya. Ancaman maut itu adalah satu gejala penyakit sahaja dan bukanlah ia penyakit itu sendiri. Sebenarnya punca utama dari keadaan ini ialah: bengkrap dan melesetnya umat manusia itu di bidang “nilai” yang menjadi pelindung hidupnya. Hal ini terlalu menonjol di negara-negara blok Barat yang sememangnya sudah tidak punya apa-apa “nilai” yang dapat diberinya kepada umat manusia; malah tidak punya satu apa pun yang dapat memberi ketenangan hatinya sendiri, untuk merasa perlu hidup lebih lama lagi; setelah sistem “demokrasi” nampaknya berakhir dengan kegagalan dan kebengkrapan, sebab ternyata ia sudah mulai meniru – dengan secara beransur-ansur – dari sistem negara-negara blok Timur, khususnya di bidang ekonomi, dengan memakai nama sosialisme!

Demikian juga halnya di negara-negara blok Timur itu sendiri. Teori-teori yang bercorak kolektif, terutamanya Marxisme yang telah berhasil menarik perhatian sebahagian besar umat manusia di negara-negara blok Timur itu – dan malah di negara-negara blok Barat juga – dengan sifatnya sebagai suatu isme yang memakai cap akidah juga telah mulai mundur teratur sekali dari segi ‘teori’ hingga hampirlah sekarang ini lingkungannya terbatas di dalam soal-soal ‘sistem kenegaraan’ sahaja dan sudah menyeleweng begitu jauh dari dasar isme yang asal dasar-dasar pokok yang pada umumnya bertentangan dengan fitrah umat manusia dan tidak mungkin berkembang kecuali di dalam masyarakat yang mundur, atau pun masyarakat yang begitu lama menderita di bawah tekanan sistem pemerintahan diktator. Hatta di dalam masyarakat seperti itu sendiri pun – telah mulai nampak kegagalan di bidang benda dan ekonomi; iaitu bidang yang paling dibanggakan oleh sistem itu sendiri. Lihat sahaja Russia, negara model dari sistem kolektif itu, telah mulai diancam bahaya kebuluran yang hampir sama dengan keadaan di zaman Tzar dahulu; hingga negara itu telah terpaksa mengimpot gandum dan bahan-bahan makanan serta menjual emas simpanannya untuk membeli bahan makanan itu. Ini berpunca daripada kegagalan sistem pertanian kolektif dan sistem ekonomi yang bertentangan dengan fitrah umat manusia.

Oleh itu, maka umat manusia mestilah diberikan pimpinan baru!

Sesungguhnya peranan pimpinan barat ke atas umat manusia ini telah hampir tamat. Ini bukanlah kerana tamadun Barat itu telah muflis dari segi benda atau telah lemah dari segi ekonomi dan kekuatan tentera tetapi sebenarnya kerana sistem Barat itu telah tamat tempohnya sebab ia tidak lagi mempunyai stok “nilai” yang melayakkan ia memegang pimpinan.

Umat manusia perlukan suatu pimpinan yang mampu menyambung terus tamadun kebendaan seperti yang telah dapat dicapai sekarang melalui tamadun cara Eropah itu, juga yang mampu memberikan nilai baru yang lengkap, setanding dengan yang telah sedia ada dan telah popular di dalam masyarakat manusia, juga yang mempunyai program yang kemas kini, positif dan praktikal. Hanya Islam sahajalah yang mempunyai nilai-nilai dan program yang sangat diperlukan itu.

Kemajuan ilmu pengetahuan telah pun menunaikan tugasnya. Sejak dari zaman kebangkitan di dalam abad keenam belas Masihi dan telah mencapai puncak kemajuannya di dalam abad kedelapan betas dan abad kesembilan belas. Sesudah itu tamadun Eropah sudah kehabisan bahan simpanan, untuk disumbangkan kepada umat manusia.

Demikian juga faham-faham “kebangsaan” dan “perkauman” yang telah muncul pada ketika itu, dan beberapa buah negara gabungan telah lahir dan telah memberikan sumbangannya masing-masing kepada umat manusia tapi fahaman “kebangsaan” dan “perkauman” itu sudah tidak mampu memberikan apa-apa pun kepada umat manusia, kerana sudah kehabisan bahan simpanan…

Pada akhirnya sistem-sistem yang berdasarkan kebebasan individu dengan disusuli pula oleh sistem kolektif telah selesai peranannya dan berakhir dengan kegagalan juga.

Sekarang tibalah pula giliran ISLAM dan peranan “umat” di saat yang paling genting ini memang sudah tiba giliran Islam pula. Islam yang tidak memandang remeh dan rendah kepada hasil ciptaan sains yang dilakukan oleh umat manusia sebelum ini dan akan terus dilakukan oleh umat manusia di sepanjang zaman kerana Islam memandang kemajuan di bidang ciptaan sains itu sebagai salah satu tugas utama manusia sejak Allah melantik umat manusia ini menjadi “khalifah” dan pemerintah di bumi ini, dan di bawah syarat-syarat tertentu pula, Islam memandangnya sebagai satu ibadat kepada Allah, dan sebagai satu pelaksanaan tujuan hidup manusia:

Firman Allah:

Maksudnya: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak jadikan seorang khalifah di muka bumi. “ (Al-Baqarah: 30)

Dan firman Allah:

Maksudnya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Adz-Dzariat: 5)

Maka tibalah giliran bagi “UMAT ISLAM” melaksanakan tujuan Allah yang telah melahirkan umat ini ke tengah-tengah masyarakat umat manusia:

Maksudnya: “Kamu [umat Islam] adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah.” (Ali Imraan: 110)

Dan firman Allah:

Maksudnya: “Dan demikianlah kami jadikan kamu [umat Islam] umat yang adil dan pilihan, agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul [Muhammad] menjadi saksi atas perbuatan kamu … “ (Al-Baqarah: 143)

Tetapi Islam tidak akan mampu menunaikan tugasnya kecuali bila ia menjelma di dalam sebuah masyarakat, iaitu ia menjadi panduan hidup suatu umat kerana umat manusia tidak mahu mendengar – terutama sekali di zaman mutaakhir ini – kepada suatu akidah yang kosong, yang tidak dapat dilihat buktinya melalui suatu bentuk hidup yang nyata dan dapat disaksikan sedangkan “wujud” umat Islam itu sendiri boleh dianggap telah terputus -sejak beberapa abad yang lalu kerana UMAT ISLAM itu bukanlah bererti sekeping tanah di mana Islam hidup di situ, bukan juga suatu kaum atau golongan orang yang nenek moyang mereka dahulu pernah menghayati Islam sebagai panduan hidup mereka kerana sesungguhnya “umat Islam” itu ialah suatu golongan manusia yang menimba hidup, konsep realiti, nilai hidup mereka dari sumber Islam dan umat ini, dengan ciri-ciri yang disebut di atas, telah terputus wujudnya sejak terhentinya pelaksanaan undang-undang dan syariat Islam dari seluruh muka bumi ini.

Oleh sebab itu maka perlulah dipulihkan semula wujudnya umat itu; supaya Islam dapat menunaikan peranan yang sangat diharapkan itu, dalam memimpin umat manusia sekali lagi. Memanglah umat Islam itu mesti “bangkit” semula umat yang telah ditimbus zaman, ditimbus oleh konsep hidup yang sesat dan ditimbus pula oleh realiti hidup yang menyeleweng, ditimbus oleh sistem hidup yang pincang dan tiada kena mengena dengan Islam sama sekali, tiada kena mengena dengan program Islam walaupun umat itu masih menganggap dirinya sebagai umat Islam dan masih memanggil negeri tempat tinggal mereka sebagai “dunia Islam.”

Sebenarnya saya arif benar bahawa jarak di antara usaha “bangkit” semula dan “memegang pimpinan” itu masih jauh dan susah dilalui sebab sesungguhnya umat Islam sudah hilang dari “wujud” dan “realiti” begitu lama sekali dan peranan memimpin umat manusia itu telah diambil oleh fikiran yang lain, oleh umat yang lain dan oleh konsep yang lain, juga oleh realiti yang lain berabad-abad lamanya dan tamadun Eropah telah pun menciptakan dalam tempoh yang begitu lama beberapa banyak perbendaharaan yang berbentuk “Ilmu Pengetahuan”, “kebudayaan”, “sistem hidup” dan “penghasilan benda”, iaitu suatu perbendaharaan yang agung dan telah membawa umat manusia naik ke kemuncak kemajuan perbendaharaan yang tidak dapat dibuang begitu sahaja tanpa gantinya; lebih-lebih lagi negara-negara yang bernama “dunia Islam” sekarang hampir tidak mempunyai bahan simpanan dari hasil perbendaharaan itu.

Walau bagaimanapun tanpa mengenepikan pertimbangan ini walau bagaimana jauhnya pun jarak di antara “bangkit semula” dengan “memegang pimpinan” langkah-langkah ke arah bangkit semula itu mesti dijalankan serta merta dan jangan dilengahkan lagi!

Supaya kita selalu dapat menguasai persoalannya, maka perlu benar kita memahami secara terperinci, apakah dia syarat-syarat kelayakan yang akan membolehkan umat ini (umat Islam) memegang peranan memimpin umat manusia, supaya kita tidak meraba-raba dalam mencari unsur-unsur yang dapat mencetuskan kebangkitan semula umat ini, di peringkat pertama.

Umat ini sekarang tidak punya kemampuan dan tidak perlu ia mempunyai kemampuan untuk mengemukakan kepada umat manusia keunggulan dan kejaguhannya di dalam lapangan “ciptaan benda” yang membikin orang tunduk dan takut kepadanya dan memaksa umat manusia menerima pimpinannya berdasarkan faktor ini; kerana kemajuan ala Eropah di lapangan ini telah terlalu jauh mendahuluinya dan memanglah tidak boleh diharapkan, dalam tempoh beberapa abad di hadapan, untuk mengatasi mereka di lapangan ini!

Yang demikian maka mestilah dicari suatu syarat kelayakan yang lain, iaitu syarat kelayakan yang tidak terdapat di dalam tamaddun sekarang. Ini tidaklah bererti bahawa kita mesti melupakan dan mesti memandang enteng kepada soal “penghasilan benda” dan “rekaan sains”, sebab menjadi kewajipan kita juga untuk berusaha mendapatkannya, tapi bukanlah dengan anggapan bahawa ia merupakan “syarat kelayakan” asasi yang mesti kita gunakan di dalam memegang pimpinan umat manusia dalam tempoh sekarang ini. Cuma ia diperlukan sekadar untuk menjaga hidup kita dari ancaman dan penindasan dan juga kerana konsep Islam sendiri yang mengajarkan bahawa ciptaan sains adalah mustahak sebagai syarat menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Oleh kerana itulah maka mustahaklah ada suatu syarat kelayakan lain, bukan ciptaan sains dan penghasilan benda, dan sudah pastilah syarat kelayakan itu tidak lain daripada “akidah” dan “Program” yang membolehkan manusia itu memelihara dan mengawal hasil ciptaan sains, di bawah pengawasan suatu konsep lain yang dapat memenuhi hajat fitrah seperti yang telah diperolehi oleh kemajuan sains itu, dan supaya akidah dan program itu menjelma di dalam sebuah perkumpulan manusia, iaitu sebuah masyarakat Islam.

Sesungguhnya dunia sekarang ini berada di dalam “Jahiliyyah” dari segi dasar yang menjadi sumber bagi tegaknya kehidupan dan peraturan-peraturannya. Jahiliyah yang tidak dapat menyelesaikan bebanan hidup hasil dari rekaan baru yang sedang memuncak sekarang. Jahiliyah ini tegak di atas dasar mencabul kekuasaan-kekuasaan Allah di muka bumi dan merampas hak istimewa Allah iaitu pemerintahan dan kekuasaan. Jahiliyah itu menyandarkan pemerintahan kepada umat manusia yang menyebabkan setengah golongan menjadi hamba abdi kepada setengah golongan yang lain bukan sahaja di dalam bentuk primitif seperti yang berlaku di zaman jahiliyah purbakala tetapi lebih dahsyat lagi di dalam bentuk mengakui dan memberi hak membuat konsep-konsep, nilai-nilai, undang-undang, peraturan-peraturan dan ketetapan-ketetapan yang jauh terpesong daripada panduan dan program Allah untuk hidup ini; dalam perkara-perkara yang tidak pernah diizin oleh Allah, maka hasil daripada penyalahgunaan kuasa Allah itu secara otomatisnya timbullah pelanggaran atas hak-hak Allah, dan pelanggaran atas hak-hak manusia. Sebenamya kehinaan yang menimpa umat manusia di dalam sistem kolektif dan juga kekejaman yang menimpa individu dan bangsa terjajah di bawah sistem kapitalis adalah salah satu kesan dari pencabulan manusia ke atas hak istimewa Allah SWT juga kerana manusia tidak menghargai kehormatan yang dianugerah oleh Allah kepadanya sejak azali.

Di dalam aspek ini, maka konsep Islam tetap berlainan langsung dengan konsep-konsep bikinan manusia; kerana di bawah sistem yang lain dari Islam, umat manusia itu saling mengabdikan diri di antara satu sama lain, dalam bermacam-macam bentuknya sedangkan di bawah sistem Islam umat manusia bebas sepenuhnya daripada sebarang belenggu pengabdian kepada sesama manusia dengan cara mengabdikan diri kepada Allah SWT sahaja dan menerima arahan daripada Allah sahaja; juga tunduk dan patuh kepada Allah sahaja.

Inilah garis pemisah dan inilah persimpangan jalan. Inilah juga konsep baru yang kita mampu kemukakan kepada umat manusia konsep ini dan yang rangkaiannya adalah perbendaharaan yang masih belum dimiliki oleh umat manusia; kerana ia bukanlah hasil “pengeluaran” atau “produksi” kilang tamaddun Barat dan bukan hasil rekaan sains Eropah, baik Eropah Barat mahu pun Eropah Timur.

Sesungguhnya kita- tanpa ragu sedikit pun – memang ada memiliki suatu potensi baru, lengkap dan sempurna; potensi yang masih belum dikenal dan belum mampu dibikin oleh seluruh umat manusia. etapi potensi baru ini, seperti telah kita tegaskan, mestilah menjelma di dalam bentuk realiti yang praktis, mesti menjadi panduan dan darah daging suatu umat bagi membolehkan berjalannya operasi “kebangkitan” umat mengikut bentuk Islam kebangkitan yang akan disusuli pula, lambat-launnya, oleh peranan memegang pimpinan seluruh umat manusia.

Tetapi bagaimanakah caranya memulakan operasi kebangkitan Islam itu?

Jawabnya : Mesti ada satu golongan pelopor atau “kader” yang menghayati cita-cita ini, dan meneruskan kegiatannya dengan cara menerobos ke dalam alam jahiliyah yang sedang berpengaruh di seluruh permukaan bumi ini dengan
memakai dua kaedah: iaitu kaedah memisahkan diri dan kaedah membuat hubungan di bidang lain pula dengan pihak jahiliyah itu.

Para pelopor dan kader itu tentulah perlu kepada panduan-panduan di sepanjang perjalanan mereka; panduan yang memberikan tentang tabiat peranan mereka, hakikat tugas mereka dan inti sari tujuan akhir perjalanan mereka dan juga mengenai garis permulaan di dalam perjalanan jauh itu seperti juga para pelopor dan kader itu perlu mendapat panduan secukupnya mengenai – jahiliyah yang sedang berpengaruh di dunia sekarang di dalam suasana yang bagaimanakah mereka boleh berjalan seiring dengan jahiliyah dan di dalam suasana yang bagaimanakah pula mereka harus memisahkan diri; bagaimana caranya melayani pihak jahiliyah itu dengan menggunakan kaedah Islam dan dalam topik apakah yang perlu dibicarakan? Juga dari mana dan bagaimanakah pula menimba bahan-bahan panduan itu?

Panduan-panduan itu hendaklah diambil dan ditimba daripada sumber asal akidah ini iaitu Al-Quran dan juga dari arahan-arahan Al-Quran yang asasi juga dari konsep yang telah dipancarkan oleh Al-Quran ke dalam jiwa para pelopor dankader terbilang dahulu, yang telah diberi penghormatan besar oleh Allah SWT untuk mengubah bentuk sejarah umat manusia mengikut kehendak Allah.

Untuk para pelopor dan kader yang diharapkan dan ditunggu-tunggu kelahirannya itu saya tuliskan PETUNJUK SEPANJANG JALAN ini. Empat fasal dari buku ini disedut dari buku DI BAWAH BAYANGAN AL-QURAN dengan beberapa pindaan dan tambahan di mana perlu, sesuai dengan judul PETUNJUK. Di antara kandungannya juga ialah delapan fasal, selain daripada muqaddimah ini, yang ditulis dalam waktu tertentu saya beroleh kesempatan dan ilham dari sumber Al-Quran Yang Mulia… dan dirangkai menjadi satu, sebagai “Petunjuk” dan panduan di dalam perjalanan, seperti juga buku panduan jalan raya yang lain. Pada keseluruhanrrya inilah petunjuk dan panduan peringkat pertama. Semoga Allah melimpahkan kurnia-Nya dan petunjuk ini akan disusul lagi oleh petunjuk-petunjuk lain bila sahaja Allah memberi hidayah kepadaku mengenai petunjuk di sepanjang jalan ini.

Wabillahi – taufiq.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: